Bersatu Mendepani Cabaran - Moving Forward As One

 
 السلام عليكم


Dunia Islam pada hari ini semakin hari semakin diuji dengan pelbagai permasalahan sehingga terkadang sesak nafas melihatnya. Perpecahan dalam masyarakat berlaku di mana-mana sahaja. Tak kurang ada pula yang masih lena dibuai mimpi indah. Asyik dalam keseronokan yang dimainkan oleh musuh Islam melalui 4S4F. Apa itu 4S4F? 4S diwakili oleh Sports, Sex , Songs, dan Smoke manakala 4F pula mewakili Female, Fun, Fashion dan Food. Senang aje kan? Mudah sahaja permainan musuh Islam. Semua 4S4F mampu melemahkan seorang makhluk bernama manusia. Tanya sahaja sesiapa pun, jawapannya jika iman tak kukuh pasti akan goyah apabila berhadapan dengan masalah sebegini.  

Sedangkan pak imam yang duk jadi imam kat masjid pun boleh telan air liur kalau nampak anak dara lalu depan mata ini kan pula manusia biasa yang imannya boleh dimanipulasi pada bila-bila masa saja. - sekadar senda gurau selitan sahaja

Daripada Usamah bin Zaid r.a bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;”Aku tidak akan meninggalkan suatu fitnah yang paling berbahaya sesudahku nanti kecuali fitnah yang dihadapi oleh kaum lelaki dengan sebab kaum wanita” - Riwayat Bukhari dan Muslim

Daripada Abu Said al-Khudri bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud;
”Hendaklah kalian takut terhadap godaan dunia dan takutlah kalian terhadap godaan wanita”
-Riwayat imam Muslim
 ................................................................................................
 Permainan musuh Islam sangat mudah tapi sayang seribu kali sayang, masih ada yang tidak sedar atau memandang enteng terhadap perkara ini. Hakikatnya, negara-negara Islam masih lemah dari segi politik, sosial dan terutamanya ekonomi. Perbalahan berlaku sesama sendiri. Bagaimana umat Islam ingin maju? sedang di belakang tadbir masih mengguna pakai ideologi musuh Islam. Tak hairan jika umat Islam diperkotak-katikkan oleh musuh Islam sendiri. 

Perkara utama yang perlu dilakukan adalah umat Islam perlu mempunyai kesedaran diri yang tinggi, bersatu dan bertukar pandangan untuk membuang ideologi-ideologi musuh Islam yang mampu 'membunuh' umat Islam dalam diam. Islam pernah melakar sejarah dunia suatu ketika dahulu dan digeruni pihak musuh kerana keagungan negara-negara Islam dan pemimpinnya yang hebat mentadbir berlandaskan pegangan yang utuh terhadap hadith dan al-Quran. 



تَرَكْتُ فِيْكُمْ اَمْرَيْنِ مَا اِنْ تَمَسَكْتُمْ بِهِمَا لَنْ تَضِلُّوْا اَبَدَ
كِتَابَ اللهِ وَسُنَّتِى
Ku tinggalkan kepadamu (umat Islam) dua pusaka abadi, apabila kamu berpegang kepadanya
nescaya kamu tidak akan sesat ,iaitu Kitab Allah (Al Quran) dan Sunnahku.

........................................
Tapi, kenapakah hari ini negara Islam semakin hari semakin hilang keunggulannya. Adakah kerana ketamakan?Harta? Kuasa? Ya, kerana hawa nafsu, hilang segala keindahan dan keunggulan yang pernah terlakar dalam sejarah dunia. Ada kebejatan dalam minda sesetengah umat Islam yang sanggup 'berjabat tangan' dengan musuh Islam sendiri sehingga  tidak mempedulikan suara-suara 'halus' yang menjerit 'kesakitan' kerana 'salam perkenalan' yang disambut daripada musuh Islam tersebut. Aduhai, manusia. Kenapakah begitu rakus nafsumu? sehingga suara-suara marhaen tidak diendah. Inikah penyatuan kita? Di mana maruah kita ? Aspek politik dicampuri dengan ideologi-ideologi kotor, sosial telah membezakan hierarki tahap kehidupan manusia, darjat menjadi keutamaan dan ekonomi pula dipelopori kuasa-kuasa 'asing' . Sampai bila perlu begini? Bagaimanakah pengakhirannya? Umat Islam perlu bersatu untuk mengikis semua sifat-sifat yang cuba meracuni pemikiran.  

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan orang yang kafir, sesetengahnya menjadi penyokong dan pembela bagi sesetengahnya yang lain. Jika kamu (wahai umat Islam) tidak menjalankan (dasar saling membantu yang diperintahkan Allah) itu, nescaya berlaku fitnah (kekacauan) di muka bumi dan kerosakan yang besar.” (Surah al-Anfaal, ayat 73)

Boikot? Mungkin itu satu kaedah yang boleh digunapakai ketika ini. Bersatu memboikot barangan dan produk-produk keluaran musuh Islam. Kita perlu berdiri di atas kaki sendiri. Perlunya membina kemajuan sendiri. Jika dulu Islam pernah melalui zaman-zaman kemegahan,kehebatan,keunggulan dan termashyur di seluruh dunia, kenapa tidak hari ini? Tidak apa jika bermula dari kosong daripada menangguk hasil orang lain sedangkan hasil itu cuma sekadar umpan untuk membunuh saudara seagama.

Jika kita masih lemah dalam menyelesaikan permasalahan ini, kita akan terus tunduk pada kuasa-kuasa musuh Islam. Mereka semakin galak ketawa dan menekan umat Islam sehingga ke saat ini pun Islam menjadi mainan kepada mereka. Bangkitlah dari lena yang mengasyikkan mu dan teruskan perjuangan salafussoleh yang kamu banggakan dalam kisah-kisah para sahabat. Selain itu, jika ada saudara seagama yang memerlukan bantuan, bantulah mengikut kemampuan, jangan pula diherdik dan dibezakan taraf kehidupannya. Biarkan suara-suara sumbang di belakang berkata-kata, sampai masa lelahnya tiba,mereka akan diam. 

Orang mukmin adalah saudara kepada mukmin yang lain. Dia tidak boleh menganiayainya, membiarkannya merana mahupun ditindas (Riwayat Muslim). 

Kita perlu bersatu mendepani cabaran globalisasi. Buktikan kepada dunia, umat Islam tak akan goyah sekalipun teknologi semakin canggih. Kita boleh mendepani arus globalisasi ! Semuanya indah andai segalanya kerana Allah swt.


by LangitHitam




No comments:

Creative Commons License
Except where otherwise noted, content on this site is licensed under a Creative Commons Attribution-ShareAlike 3.0 Unported License.